SEKSYEN PEMBIAYAAN PENDIDIKAN NEGERI KEDAH
+604 702 8600

Maklumat Am

lATAR BELAKANG

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Lembaga Biasiswa Negeri Kedah Bilangan 1/2019 pada 19 November 2019 yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman telah memutuskan supaya LBNK distruktur semula kepada sebuah Tabung Amanah serta ditukar fungsi sebagai sebuah Seksyen di bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK) ditadbir urus berdasarkan Surat Ikatan Amanah Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah yang diluluskan oleh Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Kedah Darul Aman pada 29 Januari 2020 di bawah
Seksyen 10 Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61). Penubuhan SPPNK telah dibentang dan diluluskan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman pada 26 Ogos 2020.

Pengurusan SPPNK adalah di bawah Jawatankuasa Akaun Amanah Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Sejak kewujudan organisasi ini, SPPNK telah menawarkan pinjaman pelajaran kepada hampir 11,000 orang Anak Negeri Kedah.
SPPNK juga berfungsi untuk mengutip semula pinjaman pendidikan yang dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 2% setahun ke atas baki terkini pada setiap bulan sebagai salah satu daripada sumber pendapatan SPPNK. SPPNK turut mengenakan caj denda lewat dengan kadar 4% setahun ke atas baki terkini kepada peminjam yang masih gagal menyelesaikan baki pinjaman pendidikan dalam tempoh yang termaktub di dalam Perjanjian Pinjaman.

SPPNK juga melaksanakan program khas untuk penerima Biasiswa Kecil Sekolah Menengah yang melibatkan program motivasi dan pendidikan bagi meningkatkan kecemerlangan para pelajar tersebut.

Fungsi utama SPPNK adalah menyalurkan sumbangan kepada Anak Kedah yang berkelayakan untuk Bantuan Awal Kemasukan Ke Institusi Pengajian Tinggi (BAKIPT), menawarkan pinjaman pendidikan kepada Anak Kedah yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi dalam negara secara sepenuh masa serta menyalurkan bantuan Biasiswa Kecil Sekolah Menengah (BKSM) untuk Anak Kedah yang berkelayakan di Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan atau sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh Negeri Kedah Darul Aman.

DASAR KUALITI

SPPNK komited untuk memastikan pengurusan bantuan pendidikan, biasiswa kecil sekolah menengah, pinjaman pendidikan pengajian tinggi dan kutipan balik pinjaman pendidikan menepati surat ikatan amanah, perjanjian pinjaman pendidikan dan piagam pelanggan yang ditetapkan dan sentiasa berusaha secara berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

profil